Apabila menjelang hari kemerdekaan, rakyat Malaysia akan bertungkus lumus menghias rumah-rumah, kereta dan bahu jalan dengan bendera jalur gemilang.
Hiasan bendera Jalur Gemilang telah menjadi satu tradisi turun temurun dalam masyarakat kita dengan satu matlamat untuk menunjukkan semangat patriotik dan cinta akan negara.
Tapi pernah atau tidak anda terfikir sejarah disebalik bendera Jalur Gemilang? Mungkin ramai yang sudah tahu dan mungkin ada yang masih tidak tahu.
Dalam artikel ini kami akan menceritakan sejarah penciptaan bendera jalur gemilang iaitu bendera tanah air kita.
Jalur Gemilang adalah hasil pertandingan reka bentuk yang diadakan pada tahun 1949.
Pada tahun 1949, Majlis Raja-Raja dengan kerjasama Majlis Perundangan Persekutuan telah mengadakan pertandingan dalam usaha untuk mencipta bendera baharu bagi menggantikan bendera Malayan Union. Lebih 300 pelukis mengambil bahagian dan pada 15 November 1949, hanya tiga bendera dipilih untuk peringkat akhir dan ciptaan Mohamed bin Hamzah telah dipilih sebagai pemenang.
Allahyarham adalah seorang arkitek di JKR
Mohamed bin Hamzah adalah graduan seni dari Raffles College Singapura, sebelum menjadi arkitek untuk JKR. Beliau juga sering ditugaskan oleh Sultan Johor untuk mereka bentuk logo, lambang diraja, dan bangunan untuk keluarga Diraja.
Beberapa hasil kerja arkitek yang dilakukan oleh beliau adalah peta laluan untuk Grand Prix Kesultanan Johor dan Crown Archway di Pantai Lido, Johor.
Mempunyai beberapa fasa perubahan reka bentuk
Pada asalnya bulan sabit dan bintang berwarna putih. Namun, ia digantikan dengan warna kuning bagi melambangkan warna diraja.
Selain itu, Bendera itu juga menerima perubahan terhadap warna jalur dan warna kanton. Maka pengubah suaian itu membuatkan kanton berwarna biru dan jalurnya berwarna merah dan putih. Reka bentuk bendera yang terubah suai itu mendapat kelulusan Raja George VI pada 19 Mei 1950.
Mesti korang tertanya kenapa jalur dengan bintang ada 11 sahaja? Ini kerana 11 jalur pada masa itu melambangkan negeri-negeri di Tanah Melayu
Walau bagaimanapun, Bendera Malaysia yang kita kenali hari ini, mempunyai 14 jalur termasuk Sabah, Sarawak, dan Singapura yang bergabung pada 1963, sebelum Singapura keluar pada 1965.
Bendera itu dikibarkan secara rasmi pada 31 Ogos 1957, bersama dengan lagu kebangsaan Negaraku yang turut diperdengarkan kepada umum buat pertama kalinya.
Sebelum itu, bendera Malaysia telah dikibarkan dalam satu majlis yang dianjurkan oleh Pesuruhjaya Tinggi British pada 26 Mei 1950 di perkarangan Istana Sultan Selangor dengan dihadiri oleh DYMM Raja-Raja Melayu dan Pegawai-pegawai Raja George VI.
Diberi nama rasmi sebagai Jalur Gemilang pada kemerdekaan ke-40
Cadangan untuk menamakan bendera Malaysia kepada Jalur Gemilang adalah Idea Datuk Hashim Mat Dris kerana ketika itu bendera Malaysia tidak mempunyai nama rasmi.
Pada 1 Julai 1996, Urus setia menguruskan nama mengemukakan 75 cadangan berserta ulasan dan huraian. Tiga nama disenarai pendekkan iaitu Setia Perkasa, Seri Setia Perkasa dan Seri Setia Negara. Namun nama ini ditolak Jemaah Menteri dalam sebuah mesyuarat pada 11 September 1996.
Baca juga: 6 Filem Berunsurkan Patriotik Yang Wajib Anda Tonton
Pada 2 Jun 1997, sebanyak 28 nama dicadangkan sekali lagi. Akan tetapi tiga nama dicalon diberi keutamaan iaitu Jalur Gemilang, Jalur Nusa Gemilang dan Jalur Sinar Gemilang.
Akhirnya, nama Jalur Gemilang telah dipilih dan diisytiharkan oleh Tun Mahathir bin Mohamad, Perdana Menteri pada malam 31 Ogos 1997 sempena Hari Kemerdekaan negara yang ke-40. Pengisytiharan Jalur Gemilang dilakukan pada jam 11.58 di Dataran Merdeka, Kuala Lumpur.
Sumber: Jalur Gemilang, Majlis Keselamatan Negara