Lebih RM1.5 bilion nilai kerugian akibat kes jenayah siber direkodkan sepanjang tahun lalu, sekali gus mencatatkan peningkatan sejak 2022.
Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail, berkata berdasarkan rekod Polis Diraja Malaysia (PDRM), sebanyak 35,368 kes dilaporkan tahun lalu, iaitu meningkat 2.53 peratus berbanding 2023 dengan nilai kerugian berjumlah RM1,574,203,951.82.
“Jumlah kes jenayah dalam talian pada 2022 adalah sebanyak 25,479 kes dengan nilai kerugian berjumlah RM851,121,636.62.
“Jumlah ini terus menunjukkan peningkatan pada dua tahun berturut-turut dengan peningkatan sebanyak 35.4 peratus iaitu 34,495 kes pada tahun 2023 dengan jumlah kerugian sebanyak RM1,218,839,783.59,” katanya dalam jawapan bertulis disiarkan di laman sesawang Parlimen.
Beliau berkata demikian bagi menjawab soalan V Sivakumar (PH-Batu Gajah) yang meminta menteri dalam negeri menyatakan perkembangan terkini mengenai jenayah siber dan penipuan dalam talian.
Sivakumar juga ingin tahu langkah bersepadu dilaksanakan untuk membanteras sindiket antarabangsa yang semakin berkembang termasuk penguatkuasaan undang-undang yang lebih ketat.
Pada masa sama, Saifuddin berkata, kementerian menjangkakan bilangan kes dan kerugian adalah lebih tinggi daripada statistik terbabit dengan mengambil kira golongan mangsa yang tidak membuat laporan kepada polis.
Katanya, antara usaha dilaksanakan kementerian dan PDRM dalam mengekang jenayah penipuan dalam talian, adalah melalui portal Semakmule 2.0 bagi membantu masyarakat menyemak status akaun bank, nombor telefon dan syarikat yang mungkin terbabit dengan penipuan.
“Portal ini bekerjasama dengan institusi kewangan untuk menyediakan maklumat yang tepat dan terkini mengenai akaun yang disyaki terbabit dengan penipuan.
“Ia sekali gus meningkatkan keselamatan pengguna dan mengurangkan insiden penipuan dalam talian,” katanya.
Beliau berkata, berdasarkan rekod PDRM sehingga 21 Januari lalu, pangkalan data sistem Semak Mule 2.0 merekodkan sebanyak 33,453,578 jumlah pelawat.
Katanya, daripada jumlah itu, sebanyak 238,006 akaun bank, 191,960 nombor telefon dan 7,291 nama syarikat
direkodkan hasil daripada maklumat orang ramai serta mangsa penipuan.
“Selain itu kita juga menjalinkan kerjasama dari aspek perkongsian maklumat dan risikan seperti Polis Antarabangsa (INTERPOL) dan Biro Siasatan Persekutuan (FBI) serta kerjasama melalui Memorandum Persefahaman Jenayah Rentas Sempadan dengan pelbagai negara.
“Begitu juga kerjasama di peringkat ASEAN membabitkan PDRM dalam ASEAN-Singapore Cybersecurity Center of Excellence (ACCP) bagi mempelajari pengetahuan mengenai keselamatan siber dan pola terkini jenayah siber,” katanya.
Beliau berkata, sepanjang tahun lalu, PDRM melaksanakan sebanyak 10,406 aktiviti pencegahan antaranya pameran, ceramah, siaran media dan sembang santai secara berterusan di seluruh negara yang dilaksanakan secara bersasar dengan menumpukan sasaran mengikut umur, lokasi serta tahap pendidikan.