Istilah “OK” ialah salah satu kata ringkas paling meluas penggunaannya di dunia. Ia digunakan untuk menyatakan persetujuan, memahami sesuatu, atau sekadar mengakhiri perbualan dengan nada santai. Namun, pernahkah tak korang tertanya dari manakah asal usulnya?
Terdapat beberapa teori mengenai penciptaan istilah ini, namun kebanyakan ahli bahasa bersetuju bahawa ia berasal dari Amerika Syarikat pada awal abad ke-19. Pada tahun 1839, akhbar Boston Morning Post telah menerbitkan singkatan “O.K.” sebagai jenaka linguistik.
Pada masa itu, terdapat satu trend dalam kalangan wartawan untuk menggunakan singkatan yang sengaja disalah eja sebagai bentuk gurauan. Dalam kes ini, “OK” bermaksud “all correct”, tetapi ditulis sebagai “oll korrect”.

Populariti istilah ini semakin meningkat apabila ia digunakan dalam kempen pemilihan Presiden Martin Van Buren. Van Buren berasal dari Kinderhook, New York, dan beliau digelar “Old Kinderhook”.

Penyokong beliau menggunakan “OK” sebagai slogan kempen yang bukan sahaja merujuk kepada nama tempat asal beliau, tetapi juga bertepatan dengan makna “semuanya baik”.
Sejak itu, “OK” telah merentas sempadan bahasa dan budaya, menjadi satu bentuk komunikasi sejagat yang ringkas dan mudah difahami. Walaupun pada awalnya ia berasal daripada gurauan linguistik, istilah ini membuktikan bahawa bahasa itu berkembang, berubah, dan kadangkala muncul dari tempat yang tidak disangka-sangka.