Platform media paling superb! Penuh fakta menarik & trending terkini

Akaun 3 KWSP, Apa Anda Perlu Tahu

Bemula 11 Mei 2024, semua akaun ahli Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) berumur di bawah 55 tahun akan mempunyai tiga akaun iaitu Akaun Persaraan (Akaun 1), Akaun Sejahtera (Akaun 2) dan Akaun Fleksibel (Akaun 3) selepas penstrukturan baru yang diumumkan baru-baru ini.

Penstrukturan Semula Akaun KWSP bertujuan untuk menambah baik keselamatan pendapatan persaraan dan dalam masa yang sama dapat memenuhi keperluan kitaran hidup ahli.

Apa itu KWSP 3?

Akaun 3 adalah akaun baharu yang menyediakan fleksibiliti untuk keperluan kewangan jangka pendek. Simpanan dalam akaun tersebut boleh dikeluarkan pada bila-bila masa mengikut keperluan ahli.

Menurut laman web KWSP, Ketua Pegawai Eksekutif KWSP, fokus utama inisiatif Penstrukturan Semula Akaun KWSP ini adalah untuk memperkasa ahli dalam membuat keputusan bagi mengimbangi keperluan masa depan untuk persaraan dengan keperluan kewangan jangka pendek, sederhana dan panjang.

Ini bermaksud ia akan distruktur semula seperti:

•  Akaun Persaraan untuk mengumpul simpanan sebagai pendapatan semasa persaraan;
•  Akaun Sejahtera untuk menangani keperluan kitaran hayat yang menyumbang kepada kesejahteraan semasa persaraan; dan
•  Akaun Fleksibel sebagai akaun baharu untuk menyediakan fleksibiliti untuk keperluan kewangan jangka pendek. Simpanan dalam akaun ini boleh dikeluarkan pada bila-bila masa mengikut keperluan ahli.

Mekanisme Penstrukturan Semula Akaun KWSP

Bermula tarikh yang ditentukan KWSP, Akaun Fleksibel akan bermula dengan baki sifar manakala Akaun 1 dan 2 akan dikekal seperti biasa.

Sumber: KWSP

Selain itu, caruman terbaharu diperuntukkan dalam akaun mengikut pecahan berikut :

  • 75% ke Akaun Persaraan
  • 15% ke Akaun Sejahtera
  • 10% ke Akaun Fleksibel

Namun, ahli diberikan pilihan untuk melakukan pemindahan sebahagian daripada baki simpanan dalam Akaun Sejahtera (akaun 2) ke dalam akaun Fleksibel.

Bagaimanapun, pemindahan itu boleh dilakukan sekali sahaja pada 11 Mei 2024 dan 31 Ogos 2024 dan sekiranya ahli tidak memilih untuk mempunyai amaun permulaan, maka tiada sebarang pindahan akan dibuat.

Akaun Fleksibel akan bermula dengan caruman baharu yang akan dikreditkan ke dalam akaun ahli selepas tarikh pelaksanaannya nanti.

Pindahan amaun ke dalam Akaun Fleksibel berdasarkan jumlah baki

Pemindahan amaun ke dalam Akaun Fleksibel adalah berdasarkan jumlah baki yang terdapat dalam Akaun Sejahtera ahli pada tarikh permohonan pilihan dibuat oleh ahli.

Sumber: KWSP

Kaedah pindahan adalah mengikut pecahan seperti di bawah :

Baki dalam Akaun Sejahtera adalah RM3,000 dan ke atas

Pindahan akan dibuat seperti berikut:
•  Sepuluh per tiga puluh (10/30) daripada baki dalam Akaun Sejahtera akan dipindahkan ke Akaun Fleksibel;
•  Lima per tiga puluh (5/30) daripada baki dalam Akaun Sejahtera akan dipindahkan ke Akaun Persaraan; dan
•  Lima belas per tiga puluh (15/30) akan dikekalkan dalam Akaun Sejahtera.

Baki dalam Akaun Sejahtera adalah kurang dari RM3,000

Pindahan akan dibuat seperti berikut:
•  Akaun Sejahtera yang mempunyai baki RM1,000 dan ke bawah, semua amaun dipindahkan ke Akaun Fleksibel. 
•  Akaun Sejahtera yang mempunyai baki melebihi RM1,000 dan tidak melebihi RM3,000, amaun yang dipindahkan ke Akaun Fleksibel adalah RM1,000, manakala baki selebihnya adalah kekal dalam Akaun Sejahtera.   

Pengeluaran Akaun Fleksibel

Ahli boleh membuat pengeluaran daripada Akaun Fleksibel pada bila-bila masa, tertakluk kepada amaun minimum pengeluaran iaitu sebanyak RM50.

Selain itu, permohonan bagi pengeluaran daripada Akaun Fleksibel boleh dibuat secara dalam talian melalui KWSP i-Akaun atau di mana-mana cawangan KWSP di seluruh negara.

Sumber: KWSP

Total
0
Shares
Related Posts