Setiap kali musim tengkujuh, kita sering dikejutkan dengan berita duka seperti lemas di sungai, kolam, tasik, lombong dan dihanyutkan arus kepala air. Malah setiap tahun berita menyayatkan hati itu kerap menghiasi akhbar tempatan.
Baru-baru ini, tiga lokasi perkelahan di Kuala Kubu Bharu, Hulu Selangor dikenal pasti sebagai kawasan yang kerap berlaku kejadian kes mati lemas dan terperangkap dalam kepala air sepanjang 2020 hingga 2022.
Baca Juga: Ancaman Tanah Runtuh Di 31 Kawasan ‘Hotspot’ Seluruh Negara
Menurut Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Selangor, Datuk Norazam Khamis, kawasan hotspot ‘kepala air‘ itu adalah Sungai Batang Kali, Sungai Chiling dan Sungai Pertak.
Secara umumnya, kesemua sungai atau jeram berisiko untuk berlaku kepala air atau berlaku insiden lemas namun begitu jika dikategorikan sebagai lokasi hotspot (titik panas), ia adalah (lokasi di mana) kejadian yang berlaku lebih dari sekali.
Malah, berdasarkan statistik, sepanjang tempoh 2020 hingga 2022 sebanyak 15 kes mati lemas dan enam kes terperangkap dalam kepala air dilaporkan di Selangor membabitkan 10 kawasan rekreasi di sungai, air terjun, hutan lipur dan lata.
Daripada jumlah itu, Sungai Batang Kali mempunyai rekod kes lemas paling tinggi iaitu lima kes dan empat kes membabitkan mangsa yang terperangkap dalam kepala air.
Justeru, orang awam dinasihati agar berhati-hati dan berwaspada terhadap tanda-tanda kepala air sebelum memulakan aktiviti perkelahan atau sebarang aktiviti rekreasi berdekatan sungai.