Sebelum teknologi digital, kita diajar untuk menyimpan wang dalam tabung dan perkara itu masih diamal kerana kepuasan dalam mengeluarkan wang simpanan yang berada di dalam tabung .
Walau bagaimanapun, menyimpan wang secara fizikal tidak mudah kerana terdedah dengan situasi wang rosak akibat dimakan anai-anai, dan kebakaran.
Bila kejadian seperti itu berlaku, mesti kita akan kecewa. Namun jangan dibuang wang tersebut kerana berkemungkinan besar wang kertas rosak yang kita simpan masih lagi bernilai sekiranya ditukar di Bank.
Tahukah anda wang kertas rosak boleh ditukar di bank berhampiran
Mungkin ramai yang beranggapan bahawa wang kertas yang rosak sudah tiada nilai.
Walau bagaimanapun, Bank Negara Malaysia (BNM), pernah mengeluarkan kenyataan tentang pertukaran wang kertas yang rosak.
Bagi kes wang kertas rosak yang jelas nilainya, anda akan diberikan ganti nilai pada hari yang sama. Contoh-contoh keadaan wang kertas seperti berikut:
- Lebih dari 2/3 saiz asal wang kertas.
- Tiada contengan pada potret Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong atau tulisan yang memaparkan slogan politik.
- Tidak rosak oleh contengan ketara seperti tulisan perkataan, angka, dan lain-lain.
Namun, bagi kes wang kertas rosak yang kurang jelas nilainya pula, bank akan merujuk BNM dan anda akan diberikan ganti nilai pada tarikh lain. Contoh-contoh keadaan wang kertas seperti berikut:
- Mempunyai kesan dakwat.
- Terbakar
- Dimakan anai-anai.
Jika anda ingin melakukan proses pertukaran wang kertas rosak, anda boleh hadir ke mana-mana cawangan bank berhampiran anda.
Sumber: Bank Negara Malaysia