Seorang remaja lelaki didakwa diliwat dan dikurung setelah mencari kerja di media sosial.
Menurut sumber, remaja lelaki berusia 18 tahun itu ditawarkan bantuan mencari pekerjaan oleh suspek lelaki. Malah, selepas berkenalan, suspek menawarkan bantuan untuk menumpangkan mangsa ke tempat kerjanya.
“Suspek membawa mangsa ke rumahnya di Kampung Pandan dan berjanji akan membawanya ke pasar raya untuk bekerja,” kata sumber itu.
Semasa mangsa dibawa ke pasar raya besar untuk bekerja, dia turut dibawa pulang ke rumah suspek. Mangsa kemudian diarah melakukan kerja rumah dan tidak dibenarkan keluar rumah.
Mangsa dikurung selama 10 hari dan diliwat oleh suspek beberapa kali.
Mangsa turut diugut supaya tidak mendedahkan apa yang berlaku sebelum akhirnya dibenarkan pulang.
Mangsa yang trauma, hanya memberitahu keluarganya tentang pengalaman pahit itu baru-baru ini dan membuat laporan polis pada Isnin (11 Sept).
Sementara itu, Ketua Polis Kuala Lumpur Comm Datuk Allaudeen Abdul Rahman mengesahkan menerima laporan itu dan kes disiasat mengikut Seksyen 377C Kanun Keseksaan.
Sumber: Sinar Harian