Platform media paling superb! Penuh fakta menarik & trending terkini

Najib Razak Mohon Maaf Kejadian Salah Laku Dalam 1MDB

Semalam, bekas Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak melalui satu hantaran di laman Facebook memohon maaf kepada semua rakyat Malaysia berhubung kes penyelewengan dana 1MDB.

Menurut Najib, beliau berasa duka selepas mengetahui kes penyelewengan 1MDB berlaku semasa ia di bawah pengawasan beliau sebagai Perdana Menteri dan Menteri Kewangan.

“Tiada lain yang dapat saya nyatakan selain memohon maaf secara terbuka kepada seluruh rakyat Malaysia,” ujar beliau.

Najib Razak Dedah Beliau Bukan Dalang Seleweng Dana 1MDB

Najib dalam kenyataan tersebut bagaimanapun berkata sabitan kes terhadap eksekutif PetroSaudi di mahkamah Switzerland dan artikel terkini yang diterbitkan oleh The Edge mendedahkan bahawa beliau tidak bersubahat.

Malah beliau mendakwa bahawa Jho Low telah memperdayakan beliau.

“Perbicaraan mahkamah baru-baru ini dan sabitan kes terhadap eksekutif PetroSaudi di mahkamah Switzerland dan artikel terkini yang diterbitkan oleh The Edge yang berdasarkan kepada analisa mereka terhadap kes tersebut serta e-mel dalaman PetroSaudi, sekali lagi membuktikan bahawa saya bukanlah dalang dan tidak bersubahat dengan Jho Low untuk menyeleweng dana 1MDB.

“Rumusan daripada artikel yang diterbitkan oleh The Edge telah menyatakan bahawa PetroSaudi dan Jho Low bersubahat untuk memperdayakan saya.

“Saya tidak sedar bahawa PetroSaudi telah mengalihkan dana 1MDB dan saya tidak langsung mengetahui bahawa saya telah menerima wang daripada dana yang telah dihantar oleh 1MDB kepada PetroSaudi,” kata beliau.

Najib Razak Percaya Dana Diterima Adalah Sumbangan Politik

Tambah Najib, beliau pada ketika itu percaya bahawa dana diterima adalah sumbangan politik.

“Walaupun sukar bagi sesetengah pihak untuk memahami, saya telah dinasihati dan dengan jujur mempercayai pada masa itu bahawa dana yang saya terima adalah merupakan sumbangan politik daripada Kerajaan Arab Saudi.

“Seperti mana yang telah ditetapkan dalam prosiding mahkamah, memang terdapat dua sumbangan besar yang disahkan pada tahun 2010 diterima daripada kerajaan Arab Saudi. Sumbangan tersebut tidak pernah menjadi subjek dalam mana-mana prosiding jenayah atau sivil,” ulas beliau dalam kenyataan itu.

Najib sekali lagi menegaskan bahawa beliau telah dihukum walaupun tidak pernah sesekali bersubahat.

“Saya telah pun dihukum dari segi politik walaupun dengan jelas saya bukanlah dalang kepada segala penyelewengan dalaman 1MDB dan tidak pernah sekalipun bersubahat dengan Jho Low.

“Justeru, saya tidak sepatutnya menjadi mangsa dari segi undang-undang. Saya masih lagi terkejut dengan mendalam apabila mengetahui kini kepincangan, perbuatan yang tidak bermoral dan pelanggaran undang-undang yang telah berlaku di 1MDB.

“Saya amat kesal dengan apa yang telah berlaku di SRC International Sdn Bhd (SRC) dan 1MDB. Namun dipertanggungjawabkan secara undang-undang untuk perkara yang saya tidak mulakan atau mengetahui secara sedar, adalah tidak adil kepada saya dan saya berharap serta berdoa agar proses keadilan akan memihak kepada saya dan membuktikan saya tidak bersalah,” tambah kenyataan itu.

Terdahulu, Najib ketika ini sedang berdepan empat pertuduhan di Mahkamah Tinggi iaitu menggunakan kedudukannya untuk memperoleh suapan RM2.3 bilion dana 1MDB dan 21 pertuduhan pengubahan wang haram membabitkan jumlah yang sama.

Beliau juga telah dikenakan sejumlah 42 pertuduhan dalam empat perbicaraan jenayah berasingan yang berkaitan dengan 1MDB.

Total
0
Shares
Related Posts