500 tahun dahulu, Enrique de Malacca atau Panglima Awang Hitam, hamba Melayu Ferdinand Magellan dikatakan tokoh penting dalam sejarah dunia.
Menelusuri sejarah kita dimaklumkan dengan Ferdinand Magellan adalah manusia pertama yang mengelilingi dunia. Namun, menariknya seorang hamba berbangsa Melayu iaitu Panglima Awang Hitam juga dinobatkan sebagai “Hamba pertama yang mengelilingi dunia”.
Siapa Enrique De Malacca?
Untuk makluman, terdapat berbagai nama yang diberi kepada Enrique De Malacca seperti, Daeng Malik Siluak, Nakhoda Ismail, Makiung, Datuk Laut Hitam, Panglima Awang, Enrique The Black dan Enrique The Cebu.
Menurut Ahli sejarah, Enrique de Malacca berasal dari Melaka. Namun, ada ahli sejarah yang mengatakan beliau berbangsa filipina yang dibawa ke Melaka untuk dijadikan hamba.
Ketika Melaka jatuh ke tangan Portugis, dia telah dijadikan hamba di bawah perkhidmatan Ferdinand Magellan dan anak kapalnya. Apa yang membezakan Enrique daripada hamba lain adalah pengetahuannya yang mendalam tentang pelayaran dan kefasihan dalam bahasa Melayu, menjadikannya beliau satu ‘aset’ dalam penjelajahan Magellan di seluruh Asia Tenggara.
Enrique dikatakan sangat rapat dengan Magellan dan sangat dihormati oleh Magellan. Beliau berkhidmat sebagai penterjemah dan mengajar Magellan tentang Alam Melayu.
Enrique di bawa ke Lisbon untuk Ekspedisi Magellan
Menyedari nilai Enrique sebagai jurubahasa dan pelayar, Magellan membawanya ke Lisbon pada tahun 1512, di mana dia menawarkan perkhidmatannya kepada Raja Charles dari Sepanyol. Dengan bantuan Enrique, Magellan meyakinkan raja untuk menyokong pelayaran ke arah barat untuk mencari Pulau Rempah yang terkenal di Kepulauan Melayu.
Baca Juga: Sejarah Hukuman Mati Di Malaysia
Gabungan kepakaran Enrique dan pengalamannya, beliau menjadi penting dalam membentuk kejayaan ekspedisi yang akan datang.
Perjalanan mencari Pulau Rempah tamat dengan tragis
Pada September 1519, Magellan berlayar dari Sepanyol dengan tentera dan lima kapal layar. Pelayaran itu sukar, merentasi benua dan lautan yang luas, dan akhirnya sampai ke Kepulauan Marianas pada Mac 1521. Sepanjang ekspedisi, Enrique memainkan peranan penting sebagai perantara antara Magellan dan penduduk asli yang ditemui semasa pengembaraan mereka.
Bagaimanapun, satu tragedi berlaku pada 27 April 1521, apabila Magellan terbunuh semasa konfrontasi dengan Lapu Lapu, seorang pahlawan pemberontak dari Cebu. Kehilangan Magellan sangat mempengaruhi Enrique, yang meratapi pemergian rakan dan tuannya.
Misteri selepas kematian Magellan
Kehidupan Enrique de Malacca masih diselubungi misteri. Ahli sejarah telah menyatakan beberapa spekulasi mengenai nasibnya selepas kematian Magellan. Ada yang mendakwa dia berlayar mengelilingi dunia, sementara yang lain percaya dia mungkin telah menemui jalan pulang ke Melaka atau tinggal di Cebu.
Namun, jika dia benar Enrique pulang ke kota Melaka, beliau akan dinobatkan sebagai orang pertama yang mengelilingi dunia sebelum Ferdinand Magellan atau Juan Sebastian del Cano.
Sumber: History, Positivelyfilipino