Seorang wanita dari Medan, Indonesia, berpura-pura mati kerana tidak mahu melunaskan hutangnya.
Wanita itu berbuat demikian dengan mengumumkan kematiannya sendiri di akaun Facebook anak perempuannya.
Malah, wanita yang juga dikenali sebagai L, turut menyertakan gambar dirinya sebagai ‘mayat’ dalam kain kafan, serta gambar pengusung yang diambil daripada Google.
Hantaran itu juga mendakwa L telah meninggal dunia dalam kemalangan yang berlaku di jambatan berhampiran rumahnya dan jenazahnya akan dikebumikan di Aceh.
Maya Gunawan, si pemiutang berkata, dia sudah beberapa kali meminta L membayar hutangnya, namun wanita itu mengaku tidak mempunyai dana untuk berbuat demikian.
Pada mulanya L berjanji akan membayar hutang pada 20 November lalu tetapi gagal dan meminta untuk memanjangkan tempoh sehingga 6 Disember. Namun, apabila tiba masanya untuk L membayar balik hutang itu, L telah mengumumkan kematiannya di Facebook.
Walau bagaimanapun, anaknya, Najwa Almira Ginting kemudian tampil mendedahkan ibunya masih hidup dan membuat perkara itu kerana enggan membayar hutang. Najwa kemudian merayu kepada mereka yang terkesan dengan perbuatan ibunya supaya memaafkannya.
Sumber: Tribunnews