Pernah tak anda terfikir kenapa waktu di Thailand, Indonesia dan Vietnam lambat daripada Malaysia padahal ketiga-tiga negara ini berada dalam satu benua yang sama iaitu benua asia?
Pelik, kan?
Kalau anda nak tahu, perbezaan masa berlaku kerana zon waktu Malaysia, Thailand, Indonesia dan Vietnam tidak sama, bermakna waktu mereka berada satu jam di belakang. Jom kita belajar tentang zon waktu di Malaysia.
Zon waktu mula diperkenalkan oleh British
Sebelum kemunculan zon waktu piawai, kebanyakkan negeri di Malaysia bergantung pada waktu solar tempatan. Ini bermakna setiap bandar atau wilayah mempunyai masanya sendiri berdasarkan kedudukan matahari di langit.
Namun perkara itu berubah pada tahun 1901 apabila British telah mewujudkan sistem ketepatan masa yang seragam di seluruh wilayahnya untuk memudahkan perdagangan, komunikasi dan pengangkutan. Hasilnya, konsep Greenwich Mean Time (GMT) diperkenalkan ke Malaysia.
Pada ketika itu British memilih untuk menggunakan masa tempatan Singapura, iaitu GMT+06:55:25 untuk seluruh Tanah Melayu, membolehkan jadual keretapi dan penghantaran pos dan telegram dapat diseragamkan.
Waktu ini kemudian digenapkan kepada GMT+07:00 pada tahun 1905, membolehkan waktu Tanah Melayu menjadi sekata dengan waktu di Greenwich.
British menukar zon waktu Tanah Melayu kepada Malaya Daylight Time
12 tahun selepas perkenalan GMT. British memperkenalkan konsep baharu iaitu Sistem Jimat Waktu Siang (Daylight Saving Time) dalam Rang Undang-undang Strait Settlement 1932, menjadikan masa di Tanah Melayu berubah dari GMT+07:00 menjadi GMT+07:30.
Perubahan itu dibuat untuk membolehkan pekerja mempunyia masa yang lebih. Namun, perubahan ini dibantah masyarakat pada waktu itu, kerana menurut mereka, 30 minit tambahan adalah tempoh yang lama. Maka pada 1933, British telah mengurang masa sebanyak 10 minit menjadikan Tanah Melayu memakai GMT+07:20.
Macam mana pula dengan masa di Sabah & Sarawak?
Pada awalnya Sarawak menggunakan waktu tempatan, dengan waktu piawai Kuching dipilih sebagai waktu Sarawak, iaitu GMT+07:21:20. Manakala Borneo Utara menggunakan waktu piawai Jesselton iaitu GMT+07:21:20.
Baca Juga: Sejarah Konfrontasi Antara Malaysia & Indonesia
Namun, pada tahun 1926 kedua-duanya diselaraskan kepada GMT+07:30. Tambahan masa 30 minit yang diberi kepada Semenanjung juga turut diberi pada Sabah dan Sarawak, menjadikan GMT+08:00 sebagai waktu rasmi Sabah dan Sarawak.
Perubahan masa pada zaman jajahan Jepun
Penjajahan jepun membawa kepada perubahan masa di Semenanjung dan Sabah Sarawak. Ketika itu masa di Tanah Melayu dan Sabah, Sarawak telah diubah mengikut waktu piawai Tokyo, iaitu GMT+09:00.
Apabila Jepun kalah Perang Dunia Kedua, British kembali mengambil alih Tanah Melayu dan memperkenalkan semula sistem masa sebelum perang, GMT+07:30 bagi Semenanjung, dan GMT+08:00 bagi Sabah dan Sarawak.
Waktu Piawai Malaysia (MST)
Selepas mendapat kemerdekaan pada tahun 1957, Malaysia perlu menetapkan masa standardnya sendiri. Waktu Piawai Malaysia (MST) telah diperkenalkan dan ditetapkan pada GMT+7:30. Zon waktu ini digunakan sebagai standard untuk negara selama beberapa dekad.
Walau bagaimanapun, ketika ekonomi Malaysia sedang pesat membangun, perubahan diperlukan untuk menyelaraskan interaksi dengan negara jiran dan meningkatkan perdagangan antarabangsa. Ini membawa kepada keputusan penting pada awal 1980-an.
Tun Dr Mahathir mencadang penggunaan GMT+8
Pada 1 Januari 1982, Dr Mahathir adalah Perdana Menteri keempat, Tun Dr Mahathir telah mencadangkan Malaysian Standard Time (MST) menggunakan GMT+8.
Perubahan kepada GMT+8 adalah untuk memudahkan interaksi rentas sempadan, menggalakkan kerjasama ekonomi dengan Singapura, dan mengukuhkan kedudukan Malaysia dalam pasaran global.
Pilihan GMT+8 telah terbukti menguntungkan Malaysia secara strategik kerana GMT+8 membenarkan Malaysia bekerja dalam zon waktu yang sama seperti Waktu Piawai China (CST), yang digunakan oleh China, Taiwan dan Singapura. Keseimbangan ini telah menyumbang kepada pertumbuhan hubungan ekonomi antara Malaysia dan China, meningkatkan kerjasama dalam pelbagai sektor.
Hari ini, GMT+8, juga dikenali sebagai Waktu Piawai Malaysia (MYT), kekal sebagai zon waktu piawai Malaysia. Tidak seperti sesetengah negara yang mematuhi pelarasan sistem jimat waktu siang (DST), Malaysia mengekalkan masa yang konsisten sepanjang tahun.
Sumber: Wikipedia, timedateandtime