Tahukah anda bahawa sebelum tahun 1973, Malaysia Singapura dan Brunei pernah mempunyai perjanjian di mana nilai mata wang ketiga-tiga negara ini adalah sama?
Ini kerana Malaysia, Singapura dan Brunei terikat pada satu perjanjian yang dikenali sebagai Perjanjian Pertukaran Mata Wang (CIA) 1967 dimana Ringgit Malaysia boleh ditukar pada nilai yang sama dengan Singapura dollar dan Brunei dollar.
Dalam bahasa mudah RM 1 = SGD 1 = BND 1.
Perjanjian Pertukaran Mata Wang (CIA) 1967
Ketika era kolonial, Negeri-negeri Selat yang merangkumi tempat-tempat seperti Singapura, Pulau Pinang dan Melaka menggunakan mata wang yang dipanggil “Malaya dollar,”.
Menariknya, mata wang ini tidak terhad kepada Negeri-Negeri Selat sahaja, ia juga digunakan di kawasan berdekatan lain seperti, Borneo Utara British (Sabah), Sarawak, dan Brunei.
Pada 12 Jun 1967, Malaysia, Singapura, dan Brunei Darussalam memulakan dasar monetari dengan memperkenalkan mata wang masing-masing iaitu dolar Malaysia, dolar Singapura, dan dolar Brunei menggantikan Malaya dan Borneo British dollar yang diedarkan sebelum ini di negara masing-masing.
Baca Juga: Sejarah Penubuhan Malaysia 16 September 1963
Apabila perubahan ini berlaku, ketiga-tiga negara menandatangani Perjanjian Pertukaran Mata Wang yang menetapkan bahawa ketiga-tiga mata wang ini boleh digunapakai di ketiga-tiga negara tanpa sebarang caj dan pengecualian.
Kenapa Malaysia tarik diri dari perjanjian?
Enam tahun kemudian pada tahun 1973, kerajaan Malaysia memutuskan untuk menarik diri daripada perjanjian dengan Singapura, dan seterusnya, dengan Brunei dua minggu kemudian.
Keputusan ini dibuat berikutan peristiwa sistem monetari antarabangsa pada awal 1970-an dimana Amerika Syarikat membuat keputusan untuk menurunkan nilai dolar AS berbanding emas, serta pemecahan sistem kadar pertukaran tetap Bretton Woods.
Disebabkan oleh keadaan ini, kerajaan Malaysia kemudiannya menumpukan kepada keperluan pembangunan dalam negeri dan menamatkan perjanjiannya dengan Singapura pada 8 Mei 1973.