Platform media paling superb! Penuh fakta menarik & trending terkini

Sejarah Penubuhan Malaysia 16 September 1963

Malaysia secara rasmi ditubuhkan pada tanggal 16 September 1963 dimana penubuhan itu telah melibatkan gabungan antara Persekutuan Tanah Melayu, Singapura, Sarawak dan Borneo Utara

Penubuhan itu juga secara tidak langsung memberi kemerdekaan kepada tiga buah wilayah yang masih menjadi jajahan British iaitu Sabah, Sarawak dan Singapura.

Cadangan pembentukan Malaysia sudah diajukan seawal tahun 1949

Pesuruhjaya Tinggi British di Asia Tenggara, Malcolm McDonalds pada tahun 1949 pernah mengusulkan projek yang dipanggil sebagai Grand Design dengan menyatukan Tanah Melayu, Singapura, Sarawak, Brunei dan Sabah.

Idea McDonalds ini tidak lebih daripada satu usaha untuk meneruskan penjajahan British di rantau ini. Namun rancangan ini terhenti apabila Tanah Melayu mengambil keputusan untuk menuntut kemerdekaan sendiri.

Rancangan pembentukan Malaysia diusul semula pada 1961

Pada 27 Mei 1961 ketika majlis makan tengah hari yang dianjurkan oleh Foreign Correspondents Association of Southeast Asia di Singapura, Tunku Abdul Rahman telah menyatakan hasrat beliau ingin menyatukan tanah Melayu dengan wilayah Sabah, Sarawak, Singapura dan Brunei.

Sebagai satu bangsa, Malaya hari ini sedar bahawa dia tidak dapat berdiri sendiri dan hidup bersendirian. Di luar bidang politik antarabangsa, maka politik kebangsaan kita hendaklah didasarkan pada konsep yang luas. Lambat-laun Malaya akan dapat mencari persefahaman dengan British dan dengan rakyat-rakyat di wilayah Singapura, Borneo Utara, Brunei dan Sarawak.

Perdana Menteri Pertama Malaysia, Tunku Abdul Rahman

Cadangan ini telah mendapat reaksi pantas daripada presiden Lee Kuan Yew dan pihak British. Malah, pihak British telah menggunakan semua pengaruh yang ada bagi memastikan pembentukan Malaysia dapat direalisasikan.

Hari Malaysia dijangka berlangsung pada 31 ogos 1963

Tanah Melayu, Singapura, Sabah, Sarawak dan British telah bersepakat menerima tarikh 31 ogos 1963 sebagai tarikh pembentukkan Malaysia dengan mengikat satu perjanjian di London pada 9 Julai 1963.

Walau bagaimanapun, atas kelewatan rombongan kerja PBB menyiapkan laporan tinjauan mereka, tarikh pembentukan Malaysia terpaksa ditunda dari 31 Ogos 1963 ke 16 September 1963. Perjanjian pindaan tarikh pembentukan Malaysia telah dibuat pada 28 Ogos 1963 di Singapura.

Pembentukan Malaysia tidak semudah yang disangka

Malaysia

Menjelang 16 September 1963, pembentukan Malaysia dapat direalisasikan apabila Tanah Melayu, Singapura, Sabah dan Sarawak dapat disatukan sekali gus membebaskan dan memerdekakan ketiga-tiga wilayah ini daripada penjajahan British.

Terdapat beberapa halangan yang perlu dilalui selepas pembentukan Malaysia. Kerajaan terpaksa berhadapan dengan konfrontasi yang dilancarkan oleh kerajaan pimpinan Sukarno di Indonesia yang mahu menggagalkan penubuhan Malaysia. Pada masa yang sama telah berlaku krisis dalaman melibatkan dua buah kerajaan iaitu di antara kerajaan Persekutuan Tanah Melayu dan kerajaan Singapura.

Hari Malaysia diisytihar cuti umum

Pada 2009, Bekas Perdana Menteri Najib Razak telah mengisytiharkan Hari Malaysia sebagai cuti umum. Perkara itu susulan pembentukan Malaysia dianggap sebagai satu titik sejarah yang amat penting.

Hari Malaysia akan dirayakan dengan acara-acara bersifat mengeratkan perpaduan, persefahaman antara kaum, kejayaan dan pencapaian masyarakat menerusi bidang sukan, sosio-budaya, kesenian dan lain-lain yang akan menyemarakkan semangat 1Malaysia

Kini, Hari Malaysia diraikan pada 16 September setiap tahun untuk memperingati penubuhan Persekutuan Malaysia apabila Sabah dan Sarawak telah menyertai Malaysia pada 1963.

Sumber: DBP, Arkib Negara, mstar

Total
0
Shares
Related Posts