Kerajaan mengambil keputusan menghentikan pemberian tol percuma bersempena dengan musim perayaan sebagaimana yang dilaksanakan sebelum ini.
Menteri Kerja Raya, Datuk Seri Alexander Nanta Linggi berkata,perkara itu sudah diputuskan pada mesyuarat kabinet tahun lalu.
Bagaimanapun katanya, kerajaan akan menggantikan pemberhentian tol percuma itu dengan pendekatan yang lebih bersasar.
“Akan kita umumkan dalam masa terdekat (pendekatan lebih bersasar). Tahun lalu kerajaan memutuskan tahun 2024 adalah tahun terakhir pemberian tol percuma di musim perayaan.
“(Keputusan ini kerana) …kerajaan hendak selaraskan dengan subsidi yang lebih bersasar. Perincian akan dimaklumkan kemudian,” katanya dalam sidang media selepas Majlis Pembukaan Seksyen 2, WCE dari Persimpangan Bertingkat SKVE ke Persimpangan Bertingkat SAE, hari ini.
Sebelum ini, kerajaan memaklumkan syarikat konsesi tidak menanggung sebarang implikasi kewangan berikutan pengecualian tol pada musim perayaan kerana kos pemberian tol percuma dibayar oleh kerajaan.
Secara puratanya, kerajaan membayar kira-kira RM20 juta sehari kepada syarikat konsesi lebuh raya menerusi pelaksanaan tol percuma.
Pada tahun lalu saja, kerajaan membayar RM80.07 juta sempena Aidilfitri, Deepavali RM42.31 juta; Tahun Baru Cina (RM41.21 juta) dan RM38 juta pada Krismas lalu.
Pemberian tol percuma pada Krismas lalu adalah yang terakhir sempena musim perayaan yang diberikan kerajaan.