Ramadan, hadir dengan keberkatan dan kebaikan kepada umat manusia. Untuk mereka beragama Islam, inilah bulan di mana Allah SWT menawarkan pengampunan secara besar-besaran, sekali gus mendorong untuk berbuat baik sesama manusia.
Namun, bagaimana kita hendak membuat penentuan tarikh puasa? Semestinya dengan mencerap anak bulan atau hilal (bulan sabit) sebagai antara tanda kebesaran Allah SWT.
Firman Allah SWT: Barangsiapa di antara kamu melihat anak Bulan (atau mengetahuinya) maka hendaklah ia berpuasa Bulan itu… (al-Baqarah: 185)
Melihat anak bulan antara kaedah untuk memastikan tarikh permulaan puasa dan raya untuk umat Islam. Anak bulan boleh dilihat pada hari rukyah (kebolehnampakan) yang ditetapkan setiap 29 hari bulan hijrah pada waktu matahari belum terbenam.
Lokasi pertama cerapan anak bulan pada awal tahun 1930-an
Untuk makluman, aktiviti mencerap anak bulan telah dilakukan seawal tahun 1930-an. Lokasi pertama cerapan anak bulan di Telok Kemang, Negeri Sembilan. Semenjak itu, Teluk kemang telah menjadi lokasi cerapan rasmi penentuan awal bulan Ramadan dan Syawal.
Namun, cerapan anak bulan bagi menetapkan permulaan puasa bagi seluruh negara hanya bermula pada 7 Oktober 1972.
Sejak dari itu, pengisytiharan permulaan Ramadan, Hari Raya Aidilfitri dan Aidiladha dibuat oleh Penyimpan Mohor Besar Raja-Raja melalui radio dan televisyen setelah diperkenan Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong dan Duli-Duli Yang Maha Mulia Raja-Raja.
Anak bulan bentuk macam mana?
Untuk pengetahuan anda, rupa anak bulan bukanlah bulan bersaiz ‘kecil’ atau berbentuk ‘sabit’. Tetapi ia adalah Bulan gelap. Malah, perkara itu tidak dapat dilihat dengan mata kasar sebaliknya perlu dilihat melalui teleskop.
Lazimnya, aktiviti mencerap akan dilakukan pada malam ke-29. Sekiranya semasa cerapan sudah menampakkan anak Bulan, maka keesokkan hari dikira 1 haribulan atau hari pertama dalam Bulan baharu menurut kalendar lunar seperti takwim hijrah dan kalendar Cina.
Di Malaysia, kaedah untuk menentukan awal bulan hijrah ketika mencerap hilal dengan mengunakan kaedah Imkanur (kedudukan) Rukyah.
Melalui Imkanur Rukyah, hilal (bulan sabit) dianggap boleh kelihatan apabila memenuhi syarat-syarat berikut iaitu ketika matahari terbenam ketinggian bulan tidak kurang dari tiga darjah dan jarak lengkung bulan ke matahari tidak kurang dari 6.4 darjah.
Sumber: petrosains, bctkpd