Pempengaruh dan usahawan berjaya, Khairul Aming (KA) teruja berkongsi berita perniagaannya iaitu dendeng dan sambal nyet berapi kini disahkan ‘halal’ oleh JAKIM.
Menurut KA, setakat ini perniagaannya sudah mendapat sijil MESTI dan HALAL. Beliau berharap dapat sijil HACCP pula untuk kilang di Kelantan.
“Alhamdulillah Dendeng dan Sambal Nyet kini disahkan HALAL oleh JAKIM. Bermula dengan kilang dari zero, kita bina sedikit demi sedikit sehingga dapat pengiktirafan,” katanya.
“Selain daripada halal, kita dah dapat kelulusan daripada MeSTI KKM. So sekarang kilang kita diiktiraf selamat, bersih dan juga halal,” katanya lagi.
Khairul Aming merupakan pempengaruh media sosial dan beliau mula dikenali kerana kebolehan memasak serta menghasilkan kandungan dengan berkongsi resipi masakan menarik dan mudah diikuti.
Beliau merupakan salah seorang personaliti media sosial yang sangat berjaya di Malaysia, bukan sahaja dalam bidang masakan tetapi juga dalam dunia keusahawanan.
Mengulas lanjut, Khairul Aming memaklumkan, selain daripada sijil halal, produk keluarannya juga sudah mendapat kelulusan Skim Pensijilan MeSTI Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM).
Ujarnya, dengan hanya satu kilang dibangunkan di Kota Bharu, kini beliau sudah memiliki 100 pekerja hasil kerja keras yang bermula daripada bawah.