Bekas perdana menteri Malaysia Najib Razak telah gagal dalam rayuan terakhirnya untuk membatalkan sabitan dan hukuman 12 tahun yang dikaitkan dengan skandal 1MDB berbilion dolar, salah satu penipuan kewangan terbesar di dunia.
Panel lima anggota mahkamah persekutuan berkata mereka sebulat suara mendapati rayuan Najib “tiada sebarang merit” kerana mendapati pembelaan yang dikemukakan oleh Najib tidak konsisten dan gagal menimbulkan keraguan munasabah.
Menurut laporan Harian Metro, Najib perlu mula menjalani hukuman dengan segera. Sekaligus, menjadikan beliau bekas perdana menteri pertama Malaysia yang dipenjarakan.
Sebelum ini, Najib Razak, 69, telah menafikan sebarang salah laku berhubung skandal 1MDB, atau 1Malaysia Development Berhad, sebuah dana negeri yang ditubuhkan untuk menggalakkan pembangunan. Berbilion dolar dianggarkan telah diambil daripada dana itu dan disalurkan ke akaun bank swasta di luar negara.
Skandal itu telah menjatuhkan kerajaannya pada 2018 dan mendorong penyiasatan di seluruh dunia, termasuk di Singapura, Switzerland dan AS.
Namun pada Julai 2020, Najib didapati bersalah atas tuduhan pecah amanah, salah guna kuasa dan pengubahan wang haram kerana menerima secara haram kira-kira 40 juta ringgit daripada SRC International, bekas unit dana negara 1MDB. Najib, yang mengaku tidak bersalah, tetap dikenakan hukuman penjara 12 tahun dan denda 210 juta ringgit.
Hak terjejas disebabkan posting FB
Semasa rayuannya sebentar tadi, Najib mendakwa haknya untuk mendapatkan perbicaraan yang adil telah terjejas. Beliau membuat permohonan untuk menggugurkan Ketua Hakim Negara, Tengku Maimun Tuan Mat, daripada kes itu, dengan menyatakan bahawa suaminya sebelum ini mengkritiknya di media sosial dan ini boleh membawa pandangan berat sebelah.
Dalam afidavitnya yang dibacakan di mahkamah oleh peguamnya, Najib berkata komen yang dibuat oleh suami Maimun di laman Facebook “sangat mengganggu” kerana ia mungkin mempengaruhi pendapatnya mengenai kes itu.
Saya selanjutnya menyatakan bahawa oleh kerana sifat hubungan suami-isteri mereka, adalah berkemungkinan bahawa pemikiran pengerusi yang bijaksana mungkin telah terkesan tanpa disedari melalui sentimen-sentimen suami Yang Amat Arif Ketua Hakim terhadap saya
Bekas Perdana Menteri Najib Razak
Walau bagaimanapun, permohonan itu ditolak kerana posting tersebut dibuat sebelum adanya kes tersebut.
Najib, yang menggantikan pasukan peguamnya hanya beberapa minggu sebelum rayuannya bermula, juga mendakwa haknya untuk perbicaraan yang adil adalah berisiko kerana mahkamah telah menolak permintaannya untuk menangguhkan perbicaraan bagi memberi masa kepada wakil baharunya untuk membuat persediaan.
Baca juga Kerajaan Tegas Dalam Mengekang Elemen LGBT Dalam Filem & Media Sosial
Mahkamah juga menolak percubaannya untuk memperkenalkan bukti baharu yang boleh menyebabkan perbicaraan semula terhadap dakwaan berat sebelah oleh hakim mahkamah tinggi yang menjatuhkan hukuman kepadanya pada 2020.
Najib berdepan lima perbicaraan berasingan berkaitan 1MDB. Isterinya, Rosmah Mansor, turut dibicarakan atas tuduhan rasuah.
Sumber: Astro Awani, FMT, Berita Harian, Astro Awani, Harian Metro