Tiga orang berdepan detik cemas selepas kereta yang dinaiki mereka hampir dihanyut ke dalam laut sewaktu sedang bersiar dan menyusuri pantai di kawasan Pantai Temalah, Sedili Besar, Tanjung Sedili, Kota Tinggi, Johor semalam.
Menurut Ketua Polis Kuala Sedili, Sarjan Mejar Saidon Hadzri Hj Abu Hassan, beliau bersama dua lagi anggota berpangkat Lans koperal, Mohamad Khairy dan Fazrie Imran serta dibantu dua penduduk kampung, Encik Iswandi dan anaknya bergegas ke lokasi kejadian selepas menerima maklumat.
Baca Juga: Kutip Lala Punya Pasal, Kereta Myvi Terdampar Tengah Laut
Sejurus tiba di lokasi, usaha dan tindakan untuk menggelak kenderaan tersebut dari terus ditenggelami air dan dihanyutkan ke dalam laut telah dijalankan.
Kenderaan yang terlibat telah berjaya ditarik keluar dengan menggunakan Kenderaan 4×4, milik Encik Iswandi ke atas darat di kawasan pantai tersebut. Semua mangsa yang terlibat tidak mengalami sebarang kecederaan dan dalam keadaan selamat
Difahamkan, kejadian berpunca dari air laut yang ketika itu sedang pasang dan mangsa terlibat tidak menyedari kehadiran air pasang di pantai tersebut.
Susulan itu, laporan polis mengenai kejadian telah dibuat oleh pemilik kenderaan berkenaan di Balai Polis Kuala Sedili.
Sumber: Polis Balai Kuala Sedili