Bahasa Inggeris telah pun menjadi bahasa antarabangsa dan ilmu pada hari ini. Maka, semua orang berlumba-lumba mempelajari bahasa Inggeris.
Sehingga ada kelompok yang membudayakan bahasa Inggeris dalam kehidupan seharian dan menganggap Bahasa Melayu sebagai tidak berpelajaran.
Jadi jangan terkejut sekiranya anda terjumpa dengan segelintir rakyat Malaysia yang tidak fasih berbahasa Melayu dan tidak memahami pertuturan yang menggunakan bahasa tersebut.
Anwar Ibrahim Kritik Golongan Elit Yang Lebih Banyak Bertutur Dalam Bahasa Inggeris
Baru-baru ini, Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim menegur segelintir kelompok elit yang taksub dengan Bahasa Inggeris sehingga meremehkan penggunaan Bahasa Melayu, bahasa kebangsaan negara.
Jelas beliau, wujud segelintir kelompok elit yang memilih untuk menggunakan Bahasa Inggeris dan mengabaikan bahasa kebangsaan iaitu Bahasa Melayu dalam komunikasi harian.
Anwar turut menyangkal tanggapan sesetengah pihak yang kononnya mendakwa kejayaan hanya boleh dicapai dengan menguasai Bahasa Inggeris.
Saya turut mengingatkan bahawa penekanan terhadap sesuatu bahasa tidak semestinya bersifat ’zero-sum game’ sehingga meminggirkan Bahasa Melayu sebagai Bahasa Kebangsaan.
Anwar juga menegaskan Bahasa Melayu tetap bahasa rasmi berdasarkan perlembagaan tetapi zaman digital, teknologi kecerdasan buatan (AI), perindustrian dan tenaga kerja memang mementingkan bahasa Inggeris.
“Namun, kedudukan bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan harus diberi penekanan dan itu komitmen kerajaan,” jelas Anwar.
Anwar berkata, pelbagai kaum di negara ini seharusnya melupakan pertelingkahan mengenai bahasa sebaliknya menguatkan iltizam dan mengambil satu pendirian serta komitmen untuk mememperkasakan bahasa Melayu.