Rosmah Mansor menuntut ganti rugi RM1 juta daripada seorang pemegang akaun TikTok yang mendakwanya mengamalkan ilmu hitam
Menerusi laporan akhbar tempatan, isteri kepada bekas Perdana Menteri itu menuntut RM1 juta dalam afidavit difailkan pada prosiding taksiran ganti rugi yang perlu dibayar defendan, Ku Muhammad Hilmie Ku Din.
Peguam Mohamed Baharudeen Mohamed Ariff berkata afidavit difailkan Rosmah di Mahkamah Tinggi tahun lalu telah diserahkan kepada defendan, namun ia tidak dibalas.
Selasa lepas, Hakim Ahmad Shahrir Salleh telah menetapkan tarikh 27 Mei bagi pendengaran kes tersebut dan mengarahkan peguam yang mewakili Rosmah menghantar hujahan bertulis dua minggu sebelum tarikh pendengaran.
Rosmah telah memfailkan saman berkenaan pada 19 September 2023.
Defendan telah memuat naik video yang mengandungi kenyataan palsu dan fitnah terhadapnya di TikTok.
Kandungan yang dimuat naik itu didakwa menuduhnya melakukan perbuatan membabitkan upacara melibatkan syaitan dan bomoh di samping mendakwanya mengamalkan syirik.
Menurut Rosmah, kenyataan berkenaan merosakkan reputasinya mengakibatkan beliau dipandang negatif oleh orang ramai, diejek, dan dihina, selain mencemarkan nama baik sebagai isteri perdana menteri keenam dan pelbagai pertubuhan dinaunginya di Malaysia.
Pada 28 Mei 2024, Ahmad Shahrir membenarkan Rosmah membuat penghakiman ingkar terhadap Ku Muhammad selepas dia gagal memfailkan kehadiran dan membela diri dalam saman berkenaan.
Hakim juga mengarahkan ganti rugi yang perlu dibayar di bawah penghakiman itu ditentukan mahkamah.