Program Latihan Khidmat Negara (PLKN) 3.0 akan dilaksanakan secara berperingkat bermula Januari tahun hadapan, kata Timbalan Menteri Pertahanan Adly Zahari.
Beliau berkata program rintis itu melibatkan kira-kira 500 peserta di dua kem tentera, di Kuala Lumpur dan Pahang sebelum diperluaskan ke 13 kem di seluruh negara menerusi pelaksanaan penuh pada 2026.
Dijelaskan bahawa hanya lepasan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) akan mengambil bahagian dalam Program Latihan Khidmat Negara (PLKN) yang dijadualkan bermula pada Januari 2025.
Timbalan Menteri Pertahanan Adly Zahari menjelaskan isu itu selepas berlaku salah faham orang ramai berhubung had umur yang ditetapkan untuk PLKN.
Tambah Adly, mereka yang tidak dapat hadir kerana pelbagai kekangan masih boleh berbuat demikian sehingga umur 35 tahun, mengikut Akta Latihan Khidmat Negara 2003.
Adly juga berkata seramai 1,000 peserta akan menyertai PLKN pada Januari 2025 dan akan ditempatkan di dua kem latihan.
Ini akan menjadi fasa pertama PLKN 3.0 yang akan diadakan di kem tentera sebagai langkah yang menjimatkan kos. Bagaimanapun, pelatih PLKN tidak akan dilayan seperti rekrut tentera.
PLKN baharu mempunyai modul latihan yang dipertingkatkan bertujuan membantu peserta membangunkan jati diri dan “tahap kebolehan tertinggi” untuk memastikan kejayaan mereka dalam bidang masing-masing selepas mereka meninggalkan program.