Kejadian lemas ketika melakukan aktiviti air merupakan insiden yang kerap berlaku di Malaysia. Statistik dikumpul Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) merekodkan lebih 300 kematian akibat lemas dicatatkan di seluruh negara setiap tahun.
Antara faktor berlakunya kes lemas adalah disebabkan kehadiran ‘rip current‘ atau dikenali sebagai arus karau di persisiran pantai.
Jadi apa sebenarnya, Arus karau dan bagaimana untuk mengenali bentuk arus karau?
Secara ringkasnya, arus karau adalah aliran air sempit yang mengalir berhampiran persisiran pantai di mana ombak pecah.
Arus karau boleh dikenal pasti apabila terdapat ruang yang diapit ombak di kedua-dua belah kiri dan kanan seperti jalan yang mengalir terus ke laut.
Baca Juga: Titanic Dirakam Dalam Imbasan Digital Buat Kali Pertama
Malah, arus karau boleh berlaku di hampir mana-mana pantai yang berombak, tetapi ada beberapa faktor yang meningkatkan risikonya, seperti kecerunan pantai, pasang surut air laut, dan keadaan muka bumi di sekitar pantai.
Macam mana nak selamatkan diri dari arus karau?
Jika berada dalam situasi ini, jangan cuba berenang ke arah pantai kerana anda perlu menempuh arus yang kuat.
Perkara ini akan menyebabkan anda berasa penat dan meningkatkan risiko lemas kerana tidak mampu lagi mengapungkan diri.
Sebaliknya, cuba untuk berenang ke tepi arus supaya dapat keluar daripada jalur arus yang deras itu.
Walau bagaimanapun, amatlah penting untuk melihat tanda bendera-bendera yang diletakkan di pantai-pantai. Jika ia berwarna merah, ia menunjukkan tanda tidak selamat untuk berenang.
Sumber: Britannica, Majlis Keselamatan Negara