Pelakon popular, Zul Ariffin atau nama sebenarnya, Zulkifli Ariffin, didenda RM30,000 selepas mengaku bersalah atas pertuduhan memuat naik kandungan bersifat sumbang dalam media sosial pada Mac lalu.
Menurut laporan Berita Harian, pelakon berusia 35 tahun itu membuat pengakuan di hadapan Hakim Mahkamah Sesyen Noorhisham Mohd Jaafar.
Mahkamah kemudian menjatuhkan hukuman denda RM30,000 dan memerintahkan Zul Ariffin menjalani hukuman penjara sembilan bulan sekiranya dia gagal menjelaskan denda berkenaan.
Pendakwaan dijalankan mengikut Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998.
Muat naik video ‘babak panas’ di akaun Instagram
Sebelum ini, Zul Ariffin dilaporkan telah memuat naik satu video ‘babak panas’ bersama seorang pelakon wanita untuk mempromosikan drama terbaharu lakonannya di Instagram.
Namun, tindakannya itu mencetuskan kontroversi dan dikecam netizen kerana mempunyai elemen sumbang dan keterlaluan untuk dipertontonkan. Malah perkara itu juga mendapat perhatian Menteri Komunikasi dan Multimedia, Tan Sri Annuar Musa.
Sumber: Berita Harian