Semalam (7 Ogos) Kementerian Komunikasi dan Digital (KKD) mengumumkan pakej 5G Rahmah menawarkan telefon pintar serendah RM240 berserta pelan data sebanyak 60 gigabait (GB) pada harga RM60 sebulan kepada seluruh rakyat Malaysia bermula 31 Ogos ini.
Menterinya, Fahmi Fadzil berkata pakej berkenaan dilancarkan bersempena Bulan Kebangsaan, hasil kerjasama KKD dengan Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM), syarikat penyedia perkhidmatan telekomunikasi (telco) serta dua syarikat pengeluar peranti iaitu Samsung Malaysia dan Honor Malaysia.
Menerusi Pakej 5G Rahmah yang terbuka kepada seluruh rakyat Malaysia, KKD menawarkan pelan data 60GB pada harga RM60 sebulan berbanding RM98 harga asal.
Pilihan Telefon Pintar Di Bawah Pakej 5G Rahmah
Tawaran tersebut melibatkan pakej telefon pintar 5G pelan data (device bundle) di bawah jenama Samsung A14 5G dan Honor 90 Lite 5G pada harga RM240.
Bagi golongan B40, sejumlah 100,000 pelanggan terawal akan menikmati Pakej 5G Rahmah dengan harga telefon pintar serendah RM120. Pakej itu akan berada di pasaran bermula 31 Ogos dengan kontrak langganan selama 24 bulan.
Menteri Komunikasi dan Digital Fahmi Fadzil
Malah, kementerian juga menawarkan tempoh waranti dua tahun berbanding sebelum ini hanya setahun.
Dalam pada itu, Kementerian Komunikasi dan Digital juga memperkenalkan Insentif Postpaid Rahmah Penjawat Awam yang menawarkan pemberian rebat RM10 sebulan bagi semua pegawai kerajaan di Malaysia sebagai tanda penghargaan.
Insentif ini boleh diguna pakai untuk sebarang pakej postpaid yang sedia ada. Melalui insentif ini, penjawat awam dapat jimat RM120 dalam tempoh satu tahun.