Masalah kesihatan mental dalam kalangan pelajar sekolah dan mahasiswa institusi pengajian tinggi yang melibatkan kumpulan umur kanak-kanak, remaja serta belia menunjukkan peningkatan dua kali ganda.
Timbalan Menteri Kesihatan, Lukanisman Awang Sauni berkata, Laporan Tinjauan Kesihatan Morbiditi Kebangsaan (NHMS) menunjukkan peningkatan itu daripada 7.9 peratus (424,000 orang) pada 2019 kepada 16.5 peratus (922,318 orang) pada tahun 2023.
“Ini bermaksud peningkatan sebanyak dua kali ganda berdasarkan maklumat kita peroleh daripada NHMS,” katanya.
Beliau berkata demikian menjawab pertanyaan Syed Ibrahim Syed Noh (PH-Ledang) yang meminta Menteri Kesihatan menyatakan secara terperinci berkenaan statistik isu kesihatan mental melibatkan pelajar sekolah dan mahasiswa institusi pengajian tinggi.
Dalam perkembangan sama, Lukanisman berkata, dapatan NHMS juga turut menunjukkan peningkatan prevalen tingkah laku bunuh diri dalam tempoh 10 tahun.
“Selain itu dapatan NHMS menunjukkan peningkatan daripada 7.9 peratus pada 2012 kepada 13.1 peratus pada 2022. Pelan bunuh diri meningkat daripada 6.4 peratus pada 2012 kepada 10.0 peratus pada 2022 dan juga peningkatan cubaan bunuh diri juga turut direkodkan daripada 6.8 peratus pada 2012 kepada 9.5 peratus pada 2022,” katanya.
Bagi menangani isu tersebut, Kementerian Kesihatan, jelas beliau, telah mengambil inisiatif mewujudkan Pusat Kecemerlangan Kesihatan Mental Kebangsaan dan membangunkan Pelan Tindakan Kesihatan Mental Kanak-Kanak dan Remaja.
Beliau berkata, KKM turut menyediakan perkhidmatan talian bantuan krisis kesihatan mental iaitu Talian HEAL 15555 (Help with Empathy and Love).
Tambah beliau, KKM juga menyediakan perkhidmatan kesihatan mental yang boleh diakses di 1,088 Klinik Kesihatan, 68 hospital, dan 37 Pusat Kesihatan Mental Masyarakat (Mentari) dan penempatan 200 Pegawai Psikologi (Kaunseling) Contract For Service(CFS) di daerah dan Klinik Kesihatan.
Sementara itu, KKM juga berusaha meningkatkan bilangan pakar psikiatri kanak-kanak dan remaja kepada 30 orang menjelang tahun 2027 dan sehingga kini, terdapat orang 18 pakar.