Platform media paling superb! Penuh fakta menarik & trending terkini

Dawn Raid Guthrie: Serangan Malaysia Rampas Hak Milik Negara

Tahukah anda Malaysia pernah melakukan satu serangan hanya memakan masa “empat jam” untuk merampas kembali hak-hak rakyat Malaysia daripada syarikat British.

Ya, sejarah dan peristiwa itu digelar Dawn Raid 1981 atau Serangan Subuh.

60% Aset Malaysia berada di tangan British

Selepas Malaysia mencapai kemerdekaan, syarikat British masih menguasai komoditi utama negara seperti lombong kelapa sawit, getah, teh dan bijih timah.

Pada ketika itu Tunku enggan menangani isu ini kerana beliau khuatir sekiranya syarikat asing di Malaysia terutamanya syarikat komoditi dinasionalisasikan, pelabur asing akan berundur dari Malaysia dan ia akan membawa malapetaka kepada ekonomi negara.

Disebabkan polisi Tunku Abdul Rahman yang menggalakkan pelaburan asing. Namun, ia telah menyebabkan 60% daripada aset korporat Malaysia berada di tangan syarikat-syarikat British.

Ini secara tidaklangsung menunjukkan ketidakupayaan kerajaan Malaysia untuk menasionalisasikan syarikat komoditi yang menjadi sektor penting dalam ekonomi negara.

Kenapa Guthrie menjadi sasaran?

Isu bermula apabila Guthrie menolak cadangan kerajaan Malaysia untuk membantu petani tempatan dan penoreh getah dalam meningkatkan pengeluaran.

Malah, mereka kerap menangguh mesyuarat bersama wakil kerajaan Malaysia sehingga Bank Negara Malaysia (BNM) mendesak syarikat itu, Guthrie akhirnya menubuhkan anak syarikat Guthrie-Gospel pada tahun 1966 untuk menampung perniagaan perladangan Malaysia yang sejajar dengan dasar ekonomi nasionalistik negara.

Namun, Guthrie telah menipu rakyat Malaysia dengan memberikan mereka tanah yang tidak sesuai untuk aktiviti perladangan dan pertanian, seperti kawasan berbukit.

Rancangan bermula setahun sebelum Mahathir diangkat sebagai Perdana Menteri

Setahun sebelum Tun Mahathir menjadi Perdana Menteri, Tun Ismail Ali sudah memaklumkan niat beliau untuk mengambil alih syarikat Guthrie daripada British secara senyap melalui pembelian saham daripada syarikat-syarikat besar milik mereka.

Namun, rancangan itu bermula selepas Tun Dr Mahathir menjadi Perdana Menteri dan Tengku Razaleigh Hamzah menjadi Menteri Kewangan.

Ketika itu, Tan Sri Khalid Ibrahim ditugaskan untuk mengkaji undang-undang pelaburan British di bawah Akta London Stock Exchange (LSE) untuk mengenal pasti titik lemah yang berpotensi untuk dieksploitasi.

Selepas kajian menyeluruh dibuat, ada kecacatan pada Akta saham tersebut yang boleh dimanipulasi. Kelemahan ini digunakan sepenuhnya oleh pasukan Tun Mahathir untuk mengambil alih Guthrie. Syaratnya mudah, hanya perlu dilakukan dengan pantas dan secara rahsia tanpa dikesan oleh British.

Serang bermula 7 pagi September 1981

Serangan bermula seawal empat pagi untuk menghalang harga saham meningkat dan Guthrie bertindak apabila pembelian saham berlaku.

Pada awal operasi, Tan Sri Khalid diberi tugas menyelesaikan pembelian saham tempatan daripada Genting, Bank Simpanan Nasional (BSN) dan Kuwait Investment Group (KIG).

Tun Ismail Ali dalam masa yang sama sudah berada di Singapura untuk meyakinkan bank OCBC menjual saham miliknya. Namun, ia tidak berjalan seperti yang dirancang kerana OCBC menolak penawaran Malaysia walau ditawar dengan harga yang tinggi.

Disebabkan itu, Tun Ismail Ali segera memaklumkan Khalid Ibrahim di Kuala Lumpur tentang penolakan OCBC, mendorong Khalid membuat keputusan untuk berunding dengan Kuwait Investment Corporation (KIC), yang rela menjual saham Guthrie mereka kepada Malaysia.

Namun, semuanya masih di landasan yang tepat apabila Rothschild berjaya membeli saham dari M&G Investment sebanyak 11% dan Rowe & Pitman berjaya membeli 5% saham lagi. Tidak sampai empat jam, PNB menjadi pemegang saham terbesar dalam Guthrie sebanyak 50.41% (7,995 juta saham).

Ketika LSE dibuka, Malaysia membuat pengumuman tersebut dan pengerusi Guthrie, Mark Gent mengetahui hal ini hanya melalui berita radio. Pada petang 7 September 1981, setelah semua dokumentasi selesai, Guthrie sah milik Malaysia.

Guthrie Dawn Raid menjadi bukti bahawa kerajaan Malaysia mampu mengambil alih syarikat-syarikat British di Malaysia.

Serangan ini memberi tamparan hebat buat British. Selepas kejadian itu Kerajaan British mengetatkan undang-undang dan akta LSE bagi mengelakkan kejadian sama berulang. Broker-broker di London menganggap Malaysia sebagai licik manakala media British mengutuk tindakan ini sebagai ‘Nasionalisasi Pintu Belakang’.

Selepas tiga bulan daripada kejadian itu, kebanyakan saham Guthrie beransur-ansur menjadi milik Malaysia. Pada pengujung 1981, Guthrie seratus peratus menjadi milik Malaysia.

Total
0
Shares
Related Posts