Perbicaraan kes gangguan seksual membabitkan pendakwah, Ebit Irawan Ibrahim Lew atau lebih dikenali sebagai Ebit Lew akan bermula esok hingga Jumaat ini di Mahkamah Majistret Tenom.
Pendakwah Terkenal itu menghadapi 11 pertuduhan, antaranya didakwa mengaibkan kehormatan seorang wanita berumur 41 tahun dengan menghantar perkataan lucah ke nombor telefon mangsa melalui aplikasi WhatsApp, antara Mac dan Jun tahun lalu.
Beliau didakwa mengikut Seksyen 509 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara hingga lima tahun atau denda atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.
Majistret Nur Asyraf Zolhani akan mendengar kes itu, manakala pendakwaan dikendalikan oleh Timbalan Pendakwa Raya, Azreen Yas Mohammad Ramli dan Adibah Saiful Bahari.
Ebit mengaku tidak bersalah atas 11 pertuduhan berkaitan gangguan seksual
Pada 18 Februari lalu, Ebit Lew mengaku tidak bersalah selepas 11 pertuduhan berkaitan gangguan seksual dibacakan terhadapnya di hadapan Majistret Nur Asyraf Zolhani.
Baca juga: Pendakwah Selebriti Ebit Lew Bakal Dibicarakan September Ini
Ebit mendakwa tuduhan itu tidak berasas dan dicipta dengan motif tersembunyi untuk merosakkan kredibilitinya.
Beliau kemudian dibebaskan dengan jaminan RM1,000 bagi setiap pertuduhan dengan dua penjamin.
Sumber: Harian Metro