Kerajaan sedang meneliti cadangan meminda undang-undang berkaitan kuasa digital syarikat telekomunikasi bagi mengawal platform media sosial dalam usaha menangani masalah scam.
Perdana Menteri Anwar Ibrahim berkata, perkara itu sedang diselaraskan Bank Negara Malaysia (BNM) dan syarikat telekomunikasi turut telah dimaklumkan.
“Tetapi (wujud) kebimbangan, ada reaksi nampak macam undang-undang (akan diperketat), maka kami sedang meneliti (cadangan itu),” katanya pada Forum Ilmuan Malaysia Madani Siri 4.
Hampir RM1 bilion kerugian akibat scam tahun lepas
Sebahagian besar daripada penipuan ini melibatkan platform media sosial dan skim pelaburan yang tidak wujud. perkara ini telah menyebabkan kerugian meningkat sebanyak 80% berbanding 2023.
Sindiket mengeksploitasi kelemahan dalam perkhidmatan mudah alih, termasuk kemudahan membeli kad SIM tidak berdaftar dengan harga serendah RM15.
Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata bahawa Bank Negara sedang menyelaraskan usaha untuk meneliti perubahan perundangan.
Negara lain, seperti Singapura, telah melaksanakan langkah yang lebih ketat, termasuk undang-undang untuk mengawal penyalahgunaan kad SIM dan membekukan akaun bank mangsa penipuan untuk mengelakkan kerugian selanjutnya.
Rakyat Malaysia rugi RM53 billion setahun akibat scam
Rakyat Malaysia kehilangan AS$12.8 bilion (RM53.86 bilion) tahun lalu akibat penipuan, menurut Laporan Situasi Penipuan 2024 oleh Global Anti-Scam Alliance (GASA), dengan kerjasama Whoscall dan ScamAdviser.
Angka tersebut bersamaan tiga peratus daripada nilai Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) Malaysia.
Berdasarkan tinjauan yang dibuat melibatkan 1,202 rakyat di negara ini, 70 peratus daripada mangsa penipuan tidak membuat laporan kepada pihak berkuasa, yang menonjolkan keraguan mengenai keberkesanan proses pelaporan.
Pada masa sama, 32 peratus daripada responden menyatakan telah mengalami kerugian wang akibat penipuan, manakala 74 peratus memberitahu berdepan dengan penipuan sekurang-kurangnya sekali dalam tempoh sebulan.
Kaedah penipuan yang biasa digunakan termasuk menerusi panggilan telefon, aplikasi permesejan dan platform media sosial seperti WhatsApp, Telegram dan Facebook.
Purata kerugian bagi setiap mangsa dilaporkan pada AS$2,726 (RM11,622), dengan hanya dua peratus berjaya mendapatkan semula wang mereka sepenuhnya.