Baru-baru ini, Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya memperkenalkan logo, maskot, lagu tema dan reka bentuk pesawat khas Tahun Melawat Malaysia (Visit Malaysia) 2026. Antara yang menjadi tumpuan warga Malaysia ialah pemilihan beruang matahari sebagai maskot kali ini iaitu Wira dan Manja.
Tapi tahukah anda bahawa haiwan ini sebagai salah satu haiwan tempatan?
Beruang matahari sudah lama wujud di dalam hutan hujan tropika Asia Tenggara
Beruang matahari malaya atau nama saintifiknya Helarctos malayanus merupakan spesies beruang yang amat jarang ditemui, malah tidak banyak penyelidikan yang telah dilakukan.
Seperti beruang yang lain, haiwan ini mempunyai bulu yang berwarna hitam. Bulu hitam yang pendek ini berfungsi mengelakkan beruang menjadi panas menghadapi cuaca tropika. Manakala kulitnya yang tebal dan kasar pula dapat melindungi badan dari ranting, dahan dan hujan.
Walau bagaimanapun, terdapat perbezaan kerana beruang matahari malaya mempunyai ‘rantai’ emas atau putih di dadanya
Malah, beruang matahari malaya turut mempunyai lidah yang sangat panjang bagi membolehkan haiwan ini dapatkan madu dari sarang lebah. Dietnya yang memakan madu ini menyebabkan ia turut mendapat gelaran ‘beruang madu’.
Mereka juga mampu mengopak batang pokok dan sarang anai-anai lantaran mempunyai kuku yang amat panjang, sehingga mampu mencecah empat inci. Dengan kuku ini juga, mereka mampu memanjat pokok dengan mudah dan pantas.
Beruang matahari malaya tersenarai dalam senarai merah spesies terancam (VU) bagi Semenanjung Malaysia sejak 2009 lagi
Beruang matahari menghadapi pelbagai ancaman termasuk kehilangan tempat tinggal, pemecahan populasi, pemburuan haram dan perdagangan untuk ubat tradisional. Media pernah melaporkan kerjasama pelbagai agensi kerajaan Malaysia membanteras pemburuan haram beruang matahari pada 2020.
Dengan jangka hayat hanya 25 tahun, ditambah pula kadar kelahiran yang perlahan iaitu seekor hingga dua ekor anak bagi seekor beruang betina, kadar penambahan populasi haiwan terancam ini turut menjadi perlahan.
Bagi meneruskan kempen pemeliharaan dan pemuliharaan haiwan terancam ini, tarikh 16 Mei ditetapkan sebagai Hari Beruang Matahari Sedunia setiap tahun.