Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya, Datuk Seri Tiong King Sing menggesa semua pihak hotel agar menyelaraskan semula masa daftar masuk dan keluar bagi memastikan pengguna menerima waktu penginapan sekurang-kurangnya 23 jam sehari
Menurut laporan Berita Harian, beliau berkata penginapan 23 jam sehari adalah perkara biasa di luar negara dan ia tidak menjejaskan soal kebersihan atau kualiti penginapan.
Malah, pengguna juga berasakan wang dibelanjakan berbaloi dengan perkhidmatan diterima.
“Saya faham jika hotel mahu menjimatkan kos dan dapat meraih keuntungan lebih banyak, namun perkara ini bukan hanya membabitkan keuntungan pemain industri semata-mata. Pelanggan yang berbelanja pasti mahu melakukannya dengan senang hati.
“Jika pelanggan berpuas hati dengan apa yang dibelanjakan, pasti pengusaha gembira dengan keuntungan berlipat ganda, sebaliknya jika pelanggan menerima pengalaman penginapan tidak memuaskan, ia memberi gambaran pihak hotel hanya mementingkan keuntungan dan bukan kualiti perkhidmatan,” katanya.
Selain itu, beliau beri jaminan bantu selesaikan masalah kekurangan pekerja dibangkitkan pengusaha hotel sebagai punca tempoh proses pembersihan dan penyediaan bilik mengambil masa lebih lama yang menyebabkan mereka bimbang melanjutkan tempoh penginapan
Difahamkan, isu berkenaan akan dibincangkan dengan Kementerian Sumber Manusia (KESUMA) dan Kementerian Dalam Negeri (KDN), dengan jaminan sudah diberikan kepada wakil industri hotel pada pertemuan di Parlimen.
Dalam pada itu, King Sing turut mengarahkan Akademi Seni, Budaya dan Warisan Kebangsaan (ASWARA) membantu mewujudkan kursus berkaitan latihan pembersihan dan pengemasan bilik hotel, dengan mereka yang tamat latihan diberikan sijil.
Dengan itu, ia dapat meningkatkan kualiti perkhidmatan dan kecekapan kerja di hotel, selain menambah imej profesional pelancongan Malaysia.