Maha kaya, peluncuran dan ketimbang menjadi antara 12 perkataan baharu yang dimasukkan pada kamus dalam talian Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP).
Menteri Pendidikan, Fadhlina Sidek ketika mengesahkan perkara itu berharap masyarakat dapat menerima perbendaharaan bahasa Melayu terus hidup dan sedang berkembang.
“Sebagai bahasa yang hidup, kosa kata bahasa Melayu sentiasa berkembang penggunaannya. Ada yang suatu ketika dahulu kerap digunakan, kini sudah dianggap klasik.
Beberapa perkataan yang sering digunakan pada masa dahulu kini dianggap klasik seperti “tetuang udara” kini “radio” dan perkataan “ujana” kini digunakan secara meluas untuk merujuk kepada “taman buku dan ilmu”.
Antara perkataan baharu yang terkandung dalam kamus ialah:
- intiha (pengakhiran atau kesimpulan)
- mahsul (hasil atau tuaian)
- purbasangka (prasangka)
- tatanan (sistem atau peraturan yang dipersetujui bersama)
- taakul (penaakulan atau penilaian logik)
- kesejangan (ketidaksamaan)
- tiwikrama (perubahan ketara melalui usaha)
- walhasil (akibat daripada)
- kebinekaan (kepelbagaian)
- tatakelola (pentadbiran berkesan).
- maha kaya (sangat kaya)
Fadhlina berkata, ketimbang adalah perkataan yang terdapat dalam Kamus Besar Bahasa Indonesia yang bermaksud kata untuk menandai perbandingan.
Katanya, kata ketimbang sama erti atau bersinonim dengan kata daripada.
Bagi perkataan peluncuran pula, beliau berkata, ia mempunyai maksud yang sama dengan pelancaran, iaitu hal atau perbuatan memperkenalkan produk atau program semakin banyak digunakan oleh pengguna bahasa Melayu sebagai variasi dalam konteks yang bersesuaian.
Dalam konteks ini, jelasnya perkataan peluncuran mengalami peluasan makna.
Perbahasan atau perbincangan berkenaan Bahasa Melayu sememangnya menunjukkan sifat bahasa yang hidup; perkataan baru muncul dan bahasa itu akan berkembang dari semasa ke semasa. Bahasa Melayu yang kita tuturkan (dan ejaan) hari ini juga tidak sama seperti dahulu.