Kumpulan Palestin, Hamas pada Rabu berkata bahawa perjanjian gencatan senjata dan pertukaran tahanan di Gaza ditangguhkan akibat syarat baharu yang ditetapkan oleh Israel, lapor Agensi Anadolu.
Dalam satu kenyataan ringkas, Hamas berkata pihaknya menunjukkan fleksibiliti dan tanggungjawab semasa rundingan gencatan senjata dan pertukaran tahanan yang berlangsung di Doha dengan pengantaraan Qatar dan Mesir.
“Pendudukan (Israel) menetapkan isu dan syarat baharu berkaitan pengunduran, gencatan senjata, tahanan dan pemulangan pelarian, yang menangguhkan mencapai persetujuan yang ada,” tambahnya.
Tiada komen daripada kerajaan Israel mengenai kenyataan Hamas.
Pada Selasa, Perdana Menteri Israel Benjamin Netanyahu berkata bahawa pasukan perunding Israel akan kembali dari Qatar untuk berunding mengenai perjanjian pertukaran tahanan yang berpotensi dengan Hamas.
Bagaimanapun melihat pengumuman Netanyahu sebagai sebahagian daripada corak penangguhan dalam rundingan.
Israel meneruskan perang genosid di Gaza yang membunuh hampir 45,400 orang kebanyakannya wanita dan kanak-kanak, sejak 7 Okt 2023.
Bulan lalu, Mahkamah Jenayah Antarabangsa mengeluarkan waran tangkap untuk Netanyahu dan bekas Menteri Pertahanannya, Yoav Gallant, atas jenayah perang dan jenayah terhadap kemanusiaan di Gaza.
Israel juga menghadapi kes genosid di Mahkamah Keadilan Antarabangsa atas tindakannya di Gaza.