Gunung tertinggi di Korea Selatan dikesan mengalami kerosakan alam sekitar akibat pembuangan kuah mi segera.
Susulan itu, Pejabat Taman Negara Gunung Halla telah memulakan kempen untuk menggalakkan pendaki supaya tidak membuang air rebusan ramyun di gunung atau di sungai untuk memelihara ‘persekitaran bersih’.
Di Korea Selatan, adalah menjadi trend bagi pendaki untuk membawa ramyun – sejenis mi segera yang dihidangkan dalam cawan pakai buang, ketika mendaki.
“Kuah ramen mengandungi banyak garam, jadi membuangnya di sepanjang aliran air lembah menjadikannya mustahil bagi serangga akuatik untuk hidup di dalam air yang tercemar,” tulis Pejabat Taman Negara dalam catatan Facebook.
Tanda ‘mari kita pelihara Gunung Halla yang bersih dan turunkan kepada generasi seterusnya dalam keadaan yang baik’, dipasang untuk mengurangkan para pendaki dari membuang air rebusan mi segera.
Gunung Halla, berketinggian 1,947 meter, adalah gunung tertinggi di Korea Selatan terletak di destinasi percutian popular, Pulau Jeju.
Gunung itu adalah sebahagian daripada tapak warisan Pulau Gunung Berapi Jeju dan Lava Tubes yang disenaraikan oleh UNESCO. Tahun lepas, 923,680 orang melawat gunung itu, menurut statistik kerajaan.