Menjaga kebersihan dan kesucian diri adalah perkara yang penting kepada orang Islam. Hal ini kerana bersuci hukumnya wajib bagi seorang Muslim yang akan melaksanakan solat. Malah, perlu bagi seorang Muslim untuk memahami perkara-perkara perihal bersuci dari hadas dan najis.
Dalam Islam, najis terbahagi kepada tiga jenis iaitu mughallazah, mukhaffafah dan mutawassitah. Namun untuk najis jenis mughallazah mempunyai cara penyucian dan langkah-langkah khusus yang perlu dilakukan sekiranya ia terkena pada pakaian, badan atau sesuatu tempat.
Walau bagaimanapun, masih ramai yang keliru dengan cara yang sepatutnya dilakukan jika terkena najis tersebut.
Jemaah Masjid Terangkan Beza Samak & Sertu
Satu hantaran di laman TikTok (@masjidbspofficial) menunjukkan satu senario ketika berada di masjid.
Menerusi video perkongsian, Pakman memaklumkan bahawa selipar milik rakannya itu telah terkena air kencing anjing. Oleh disebabkan itu, Hajiman membuat keputusan untuk ‘menyamak’ seliparnya.
Namun istilah yang digunakan oleh Hajiman iaitu samak adalah kurang tepat. Sebaliknya, perkataan yang betul adalah sertu.
Menurut laman sesawang Muftiwp, Samak adalah aktiviti membersihkan kulit yang najis seperti daripada bangkai menjadi suci. Manakala sertu pula membasuh sesuatu yang terkena najis mughallazah.
Cara menyertu adalah mencuci sesuatu benda menggunakan air bercampur tanah sekali dan diikuti dengan air mutlak sebanyak enam kali.
Hadis diriwayatkan daripada Abu Hurairah R.A, Rasulullah S.A.W bersabda:
Sucinya bekas salah seorang dari kamu apabila seekor anjing menjilat padanya (bekas tersebut) adalah dengan cara kamu membasuhnya sebanyak tujuh kali, dan basuhan pertama bercampur dengan tanah.
[Riwayat Muslim (279)]
Mengulas lebih lanjut mengenai samak, Pakman telah memberikan satu contoh yang mudah difahami oleh orang ramai.
Sebagai contoh, seseorang ternampak ada bangkai lembu yang mengalami kemalangan di tepi jalan. Bangkai lembu tersebut dikira najis dan tidak boleh dimakan.
Namun, kulitnya boleh digunakan untuk menghasilkan pakaian. Oleh itu, kulit berkenaan boleh diambil dengan membasuhnya terlebih dahulu serta buang lemak, darah dan kekotoran pada kulit berkenaan. Maka, itulah perbuatan yang dinamakan sebagai samak.